Oleh : Nur Amalia Alisha Daud / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 Mac. - Hari Raya dikenali sebagai Hari Keriaan atau Kegembiraan. Namun bagi kita orang Islam, keriaan atau kegembiraan itu memerlukan kawalan. Di antara langkah mengawal itu ialah supaya setiap kita tidak sampai terlajak mengikutkan hati dan emosi semata-mata, sehingga boleh melupakan kewajipan asasi seperti sembahyang.
Di samping itu, etika berhari raya juga menghendaki kita supaya mengambil tahu keadaan saudara-saudara kita seugama, contohnya kita dituntut menunaikan zakat fitrah bagi menolong meringankan bebanan hidup para fakir dan miskin. Lebih jauh Iagi dari itu, kita juga turut diminta untuk melihat dengan mata dan hati simpati terhadap saudara-saudara seugama kita, sekalipun mereka itu berjauhan tempat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian dalam Titah Perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Istana Nurul Iman, di sini.
Jelas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada masa ini, ada golongan yang lapar tanpa makanan, ada juga yang ditimpa musibah sampai kehilangan rumah kediaman, kehilangan harta benda dan paling malang lagi menjadi mangsa peperangan.
"Semua ini, perlu kita lihat dengan mata dan jiwa simpati. Sekiranya kita tidak berupaya untuk membantu mereka dengan mata benda, maka dengan 'doa' adalah tetap dituntut. Mengapa?" tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Kerana persaudaraan seagama itu titah baginda adalah persaudaraan yang suci, sehingga Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri melalui riwayat Muslim, telah bersabda maksudnya :
"Perumpamaan orang-orang beriman dalam perkara saling mencintai adalah seperti SATU tubuh, apabila salah satu anggota sakit, maka seluruh tubuh itu akan turut sakit, tidak dapat tidur dan demam."
Demikian itulah tegas Kebawah DYMM lagi, hakikat dan harga persaudaraan seugama yang dibina atas dasar iman, yang menjadikannya tetap kukuh tidak mudah digugat.
Baginda melahirkan harapan agar Negara Brunei Darussalam mampu untuk jadi pengamal dasar ini, dengan terus menggalakkan perpaduan melalui amalan saling simpati dan membantu, sekurang-kurangnya membantu dengan doa.
"Baru-baru ini, sebagai tanda simpati kepada saudara-saudara seugama yang ditimpa musibah, maka beta telah menitahkan pihak berkenaan untuk menambah Doa Hajat yang lazim kita baca pada masa ini dengan sedikit tambahan doa baharu," titah baginda lagi.
Terdahulu dalam titah, Kebawah DYMM menyatakan rasa teruja kerana dapat lagi menyambut Hari Raya Fitrah dalam suasana aman dan sejahtera.
Aidilfitri adalah kurnia Allah kepada para hamba-Nya yang taat setia menjunjung titah perintah melaksanakan ibadat puasa. Selaku ianya kurnia, adalah wajib bagi kita untuk menjawatnya dengan rasa penuh bersyukur.
Bagaimanakah kita bersyukur itu, jelas baginda, mula-mula kita disunatkan bertakbir dan bertahmid membesarkan Allah selaku pengurnia nikmat, dan kemudian berikutnya dituntut pula kita ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya.
"Akhirnya, beta dan seluruh ahli kerabat beta dengan sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Fitri Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada. Semoga dengan izin Allah jua, kita semua dapat menjalani sambutan ini dalam keadaan sihat dan sejahtera," akhir titah baginda.